Saturday 5 January 2013

Alf Mabruk^^





'dan bahwa manusia hanya memperoleh apa yg telah diusahakannya, dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna.'(53:39-41)

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan pelajar-pelajar I.Q.Ra.C bercuti, saat yang dinanti-nantikan telah pun tiba apabila semua pelajar telah mendapat link kelas bahawa keputusan peperiksaan telah pun dikeluarkan pada minggu yang lepas. Mungkin ramai di kalangan kita yang terus meluru ke komputer riba untuk menyemak keputusan periksa masing-masing dan mungkin juga ada yang menarik nafas panjang, menenangkan jiwa dan fikiran terlebih dahulu dan mungkin juga sehingga hari ini masih ada sahabat yang belum menyemak keputusannya. Walau apa-apa pun keputusannya, TAHNIAH diucapkan kepada pelajar-pelajar I.Q.Ra.C GEN 13!


exam bukanlah segala-galanya^^


 'ALLAH tdk membebani seseorg melainkan sesuai dgn ksanggupannya '(2:286) . ALLAH merancang dan memberi dengan rahmat dan kasih sayangNya. Yakinlah bahawa Dia sering memberi yang TERBAIK dalam hidup kita.




Setahun telah berlalu pergi.. 2 semester, telah berjaya kita tempuhi. Pelbagai suka duka, gelak tangis dan cerita telah kita kongsi. Entri kali ini, biro akademik ingin mengucapkan TAHNIAH dan TAKZIAH kepada sahabat-sahabat yang telah pun megkhatamkan Al-Quran dalam tempoh setahun ini. Antara mereka yang terpilih oleh ALLAH S.W.T adalah:

1. Muhd Syahmi B. Zulkifli

2. Muhd Abror B. Abd Majid

3. Shafirah Bt. Nor Din

4. Nur Rasyidah Bt. Mohd Kamal

5. Wasitah Bt. Azmi

6. Nur Mardia Bt. Mazri

7. Tuan Puteri Fadwaddiyanah Bt. Tuan Mohd Razif

8. Rumaisa' Bt. Zulkefle

9. Norly Efarizan Bt. Ibrahim

10. Siti Nursyahirah Bt. Kamarudin

11. Nurul Azimah Bt. Mohd Soud

12. Nadhratulhidaayah Bt. Ismail

13. Noraqila Bt. Azli

14. Farah Najihah Bt. Mohamad

15. Nur Fazira Bt. Nordin

16. Asmaa' Bt. Majdan

17. Nor Amalina Bt. Ibrahim

18. Nurafifah Bt. Shamsuri

19. Nur Atiqah Bt. Rahim

20. 'Afiah Bt. Mohd Ali

21. Madihah Bt. Sobree

22. Nur Amira Bt. Shuib

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa mesti didatangkan TAHNIAH itu bersama TAKZIAH. Memang sesuatu yang menggembirakan apabila kita telah dipilih menjadi seorang huffaz secara total dalam masa yang singkat tetapi perlu diingat bahawa ALLAH akan mendatangkan pelbagai ujian sebagai perencah dalam perjuangan ini semata-mata untuk menguji keimanan,kecintaan,dan kesetiaan kita kepada Allah dan kalamNya. Keberangkalian untuk kita merasa lemah semangat, hati berbolak-balik, lupa dan alpa akan peranan kita sebagai huffaz itu sememangnya akan ada di sepanjang perjalanan kita. Jadi sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH sekalian, IKHLASKAN dan THABITKAN hati kita di jalan yang menuntut perjuangan dan pengorbanan ini.





Cuti semester bakal melabuhkan tirainya. Persoalannya, sudahkah kita bersedia untuk kembali ke bumi barakah yang sentiasa menyuntik roh-roh Al-Quran ke dalam diri kita? Ayuh sahabat! mari sama-sama kita mentajdid niat dan minda, menekadkan keazaman dan semangat pada semester yang terakhir ini di samping menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada bakal-bakal huffaz junior yang akan bersama-sama kita di medan perjuangan ini. Bulan pertama sesi kuliah akan menjadi saksi apabila pelajar-pelajar semester 3 akan berusaha menghempas pulas untuk mengkhatamkan Al-Quran mereka.Tamatnya menghabiskan hafalan 30 juzu' itu bukanlah suatu pengakhiran dan kesenangan buat kita, namun ia adalah permulaan untuk segala-galanya. Justeru, kita perlulah sentiasa berdoa dan mendoakan sahabat-sahabat kita yang lain agar ALLAH S.W.T sentiasa memilih kita semua untuk membaca, mengingati  memahami bahkan menyampaikan ayat-ayat suci Al-Quran ini sehingga ke akhir hayat kita.






Wallahu'alam.





Sunday 4 November 2012

Teknik mengulang hafazan yang telah diperolehi


Nama penulis : Wan Mohd Al Hafiz bin Wan Mustapa
Emel : cendekiawanalhafiz@gmail.com
credit goes to: cendekiawanalhafiz.blogspot.com

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani




Adalah menjadi tanggungjawab seorang hafiz untuk mengulang bacaan mereka setiap hari. Tanpa pengulangan ayat-ayat al-Quran, hafazan akan lupa secara beransur-ansur sekalipun seseorang itu mempunyai ingatan yang kuat.

Dalam mengulang-ulang hafazan yang telah lama diperolehi, Abu Najihat al-hafiz (2001:77-78) telah memberi beberapa peringatan kepada seorang penghafaz al-Quran:

A. Untuk lebih mendisplinkan masa dalam melaksanakan pengulangan, sebaiknya seorang hafiz mempunyai keyakinan bahawa memelihara dan menjaga hafazan adalah suatu kewajipan istimewa yang ada hubungan secara langsung dengan Allah s.w.t.  

B. Adalah menjadi suatu kesalahan bagi seorang hafiz sekiranya dia mempunyai semangat bermusim dalam mengulangkaji hafazan. Janganlah sekali-kali mengulang satu kali khatam dalam satu hari ketika rajin kemudian dalam masa yang lama seperti tiga atau empat minggu tidak melakukan pengulangan kerana dilanda perasaan malas. Kebiasaan sebagaimana di atas dapat menjejaskan hafazan dan boleh jadi lambat laun akan lupa hafazannya kerana diselimuti perasaan malas yang berterusan.

C. Kebiasaan menunda dan menangguhkan pengulangan hanya akan menambah perasaan malas pada hari yang berikutnya. Hal ini sebenarnya merupakan pembawaan nafsu malas itu sendiri yang mengajak kepada menangguh-nangguhkan tugasan dari satu masa ke masa yang berikutnya. Untuk mengelakkan kemalasan ini, usaha pengulangan hendaklah dijadikan kewajipan khas setiap hari pada satu masa yang telah ditentukan sebagaimana ketentuan waktu di dalam solat lima waktu.

Tiga perkara di atas adalah sangat penting untuk diambil berat oleh golongan huffaz yang ingin berjaya dengan cemerlang dan mendapatkan syafaatnya pada hari kiamat kelak.


Kaedah Mengekalkan Hafazan (Muraja'ah/I'adah)

Pengekalan hafazan (Muraja'ah/I'adah) merupakan peringkat di mana mengekalkan hafazan yang tersimpan dalam ingatan. Bagi seorang hafiz al-Quran, adalah amat penting dan menjadi kewajipan supaya dia menjaga dan memelihara hafazannya agar terus kekal dalam ingatannya.

Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh dipraktikan mengekalkan hafazan iaitu:

A. Bergaul dengan mereka yang telah menjadi hafiz.
 
Kebiasaannya pada suatu tahap tertentu akan timbul rasa jemu dan malas untuk mengulangkaji hafazan walaupun pada awalnya semangat tersebut amat berkobar-kobar. Di sinilah fungsinya bergaul dengan orang-orang yang sedang atau sudah menghafaz al-Quran. Ia dapat membantu seseorang itu untuk konsisten dalam mengulang-ulang ayat-ayat al-Quran kerana wujudnya semangat persaingan untuk berlumba-lumba membacanya. Selain itu, mereka turut berperanan sebagai pemberi motivasi kepada seseorang yang mula malas dan lesu untuk mengulang hafazan.

B. Mendengar bacaan hafiz al-Quran.
 
Mendengar bacaan dari seorang hafiz al-Quran dapat memberi semangat kepada seseorang yang ingin mengekalkan hafazannya. Hal ini boleh dilakukan dengan mendengar kaset-kaset rakaman, radio ataupun cakera padat al-Quran. Sekiranya ingin memperolehi manfaat yang lebih banyak, seseorang hafiz itu boleh mendengar dengan teliti bacaan-bacaan yang diperdengarkan dengan memerhatikan hukum-hukum tajwidnya, ghunnah-ghunnahnya serta alunan irama bacaannya.

C. Mengulang hafazan bersama orang lain.
 
Cara ini merupakan cara popular yang digunakan oleh para ulama zaman dahulu untuk mengingati ilmu yang telah mereka pelajari. Begitu juga bagi seorang hafiz yang melakukannya secara konsisten, hafazan al-Quran lebih mudah dikekalkan. Malah pada masa yang sama, ketika berlaku ketidaklancaran pada bacaan salah seorang antara mereka, rakannya dapat membetulkan bacaan tersebut.

D. Selalu membaca ayat yang dihafaz di dalam solat.
 
Seringkali membaca ayat-ayat yang telah dihafaz di dalam solat sudah tentu akan memudah dan melancarkan lagi hafazan seseorang. Ini kerana suasana solat itu sendiri memerlukan konsentrasi dan keseriusan dalam melaksanakan ibadat tersebut. Maka seorang hafiz perlulah membuat pengulangan bacaan yang intensif dan melapangkan waktu yang agak panjang. Walaupun demikian, ini bukanlah bermakna tidak terdapat langsung kesalahan seperti kesilapan bacaan ataupun terlupa ayat yang hendak dibaca semasa membacanya di dalam solat. Namun apabila perbuatan ini menjadi rutin, lama-kelamaan akan terhasil juga satu sistem hafazan ayat-ayat suci al-Quran yang amat lancar.

E. Menyertai Musabaqah ‘Hifz al-Quran’.
 
Dengan mengikuti pertandingan seumpama ini menyebabkan seseorang itu mendapat motivasi untuk mengulang hafazannya secara berulangkali. Ini kerana pertandingan tersebut dianggap satu suasana ujian yang amat genting. Melalui pertandingan yang disertai ini, penghafaz bukan sahaja dapat menguji kemampuannya dalam menghafaz ayat al-Quran malah turut memperolehi pengalaman yang berharga apabila dapat bertukar-tukar ilmu dan buah fikiran dengan peserta daripada daerah dan negeri lain.


Dipetik dari: KEBERKESANAN KAEDAH HAFAZAN DI PUSAT TAHFIZ

PENYELIDIK-PENYELIDIK:
USTAZ ABDUL HAFIZ BIN HAJI ABDULLAH
PROF. MADYA AJMAIN BIN SAFAR
USTAZ MOHD ISMAIL BIN MUSTARI
USTAZ AZHAR BIN MUHAMMAD
USTAZ IDRIS BIN ISMAIL
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

2003