Saturday 16 June 2012

Blogger = Da'ie : Kita Sebarkan Kebaikan

Credit goes to : Hilal Asyraf



Kita gunakan blog, sebagai wasilah kebaikan ~ Picture by sleepytea of Deviant Art.

Kita terus menyelak lembaran Blogger=Da’ie. Dengan tajuk yang mudah, “Kita Sebarkan Kebaikan.”
Ya. Blogger=Da’ie adalah blogger yang tidak menyebarkan keburukan di dalam blognya. Blognya adalah untuk mengajak manusia ke arah kebaikan. Tidak mengajar untuk melakukan keburukan. Tidak pula dia menyebarkan keburukan untuk tontonan ramai walaupun tidak menggunakan perkataan ‘marilah melakukan perkara ini’.
Definisi baik dan buruk.
Maka pertamanya mestilah kita perlu pulang kepada definisi baik dan buruk yang sebenar. Apakah itu baik, apakah itu buruk?
Saya mudah memakai definisi baik = apa yang Allah dan Rasulullah SAW kata baik.
Sama juga dengan definisi buruk, pada saya buruk itu adalah apa yang Allah dan Rasulullah SAW kata buruk.
Kita jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan, Islam itu sendiri sebagai panduan, di situlah kita memilih apakah yang patut kita sebarkan, dan apakah pula yang tidak.

Antara perkara baik yang boleh kita usahakan.
Antara perkara yang baik yang boleh kita usahakan untuk disebarkan di dalam blog kita adalah:
  1. Kita tulis berkenaan akhlak yang soleh. Di dalam Islam, wujud pelbagai adab dan sopan. Kita boleh kaji hadith dan Al-Quran, kemudian membahaskan sedikit berkenaan akhlak soleh ini dengan dikaitkan bersamanya realiti dan isu semasa yang berlaku.

  1. Kita boleh tulis berkenaan percintaan di dalam Islam. Bagaimana bercinta di dalam Islam. Contoh-contoh daripada hadith, ayat-ayat Al-Quran berkenaannya. Nasihat-nasihat berkenaan cinta, dan isu-isu rumahtangga di dalam Islam.

  1. Kita boleh juga menulis berkenaan motivasi hidup. Kita berikan harapan, menyentuh akal yang lesu, dengan dalil-dalil Al-Quran dan hadith. Kemudian kita ulas dengan baik, mengaitkannya dengan realiti dan cuba memberikan semangat. Kita sebarkan kepositifan di dalam hati masyarakat.


  1. Kita juga boleh menulis sirah-sirah Rasulullah SAW dan Para Sahabat bersumberkan sirah yang muktabar. Kemudian kita ulas, dan kaitkan dengan isu semasa, realiti hari ini.

  1. Sekiranya kita fotografer yang suka berblog, maka kita tangkap gambar pemandangan yang cantik dan kaitkan gambar itu dengan kekuasaan Allah SWT, dengan kebijaksanaanNya, dengan kesempurnaanNya. Kita letak ayat Al-Quran atau hadith Rasulullah SAW sebagai caption agar ayat dan hadith itu menjadi terjemahan kepada gambar yang anda tangkap lebih mencucuk. Kita tangkap momen-momen indah, dan kemudian kita relatekan kembali kepada Allah SWT.


  1. Kita boleh kongsikan isu-isu semasa, politik, realiti masa kini, dengan adab dan akhlak yang baik, dengan kalam dan bicara yang baik. Tidak menghina mana-mana pihak. Menyuakan bukti yang benar, bernas, kukuh. Kemudian mengulasnya daripada pandangan Islam.

  1. Jika kita adalah seorang kartunis, kita boleh uploadkan komik kita di dalam blog. Lukislah komik-komik yang mempunyai ciri-ciri Islam. Yang wataknya ada syakhsiah Islam. Yang jalan ceritanya membina masyarakat, mengajak kepada kebaikan dan ketaatan terhadap Allah SWT.

  1. Dan jika kita suka menulis diari, tiada masalah. Tetapi tulislah diari kita, pengalaman hidup anda, dengan mengaitkannya kepada Allah SWT. Jadikan diari itu sebagai tempat muhasabah. Muhasabah atas apa yang anda lakukan. Jadikan diari itu sebagai tempat mengekstrak manfaat. Ekstrak manfaat daripada apa yang anda lihat dan lalui. Begitulah.

Antara perkara buruk yang perlu kita jauhkan
Keburukan-keburukan ini, tidak perlulah saya senaraikan.
Sebar keaiban orang, menayangkan aurat, menggunakan blog sebagai menyebar sesuatu yang palsu, menjadikan blog medan menghina dan mengumpat. Menggunakan carutan dan kata-kata nista di dalam penulisan. Juga keburukan-keburukan tersembunyi seperti riya’ dan takabbur. Menulis diari untuk menunjuk-nunjukkan kebaikan kita dan sebagainya. Menghina-hina kerendahan orang lain, kekurangan orang lain.
Menggunakan blog untuk menentang Islam, menghina Allah, Rasulullah SAW dan para sahabat. Melukis komik yang tidak memberikan manfaat kepada Islam, menangkap gambar-gambar fotografi yang jelas menunjukkan aurat atau menaikkan nafsu.

Penutup: Bagi Penyebar Kebaikan, Pahalanya Beranak Pinak.
Kebaikan ini bukan susah. Senyum sahaja sudah kebaikan. Kita ini pula berblog. Daripada kita gunakan blog kita ke atas sesuatu yang tidak bermanfaat, apa kata kita buat pahala dengan blog kita. Kita ceritakan kebaikan, ajar manusia buat kebaikan, kenalkan manusia dengan Allah SWT, fahamkan manusia dengan Islam, tunjukkan keindahan Islam dan sebagainya.
Kita sering mengulang sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu adalah apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah menuju kepada Allah dan rasulNya, maka hijrahNya akan pergi kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana perempuan yang dia mahu nikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang diniatkan olehnya.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Mari. Jangan lepaskan peluang.
Blogger=Da’ie, adalah blogger yang menyebarkan kebaikan.

Kefuturan Tidak Memilih Mangsa

Credit goes to : Inche Gabbana


[Kredit]

Tarbiyah adalah suatu perkara yang misteri. Ajaib mungkin.

Hanya orang yang pernah melalui tarbiyah tahu apa yang saya maksudkan.

Mengapa misteri? Mengapa ajaib? Kerana kesan daripada tarbiyah datang dengan sendirinya. Hatta orang yang melalui tarbiyah itu sendiri kadang-kadang tidak menyedari yang tarbiyah telah merobah dirinya.

Percakapannya menjadi lebih berakhlak.

Dia yang dahulunya baran dan gopoh kini sudah pandai bersabar.

Kekasarannya dahulu berjaya diubah menjadi logam berharga yang tiada tolok bandingan nilainya.

Tudung bawal kini sudah bertukar menjadi tudung DBKL.

Dia yang pemalu dan segan untuk ke hadapan kini sudah bergaya menyampaikan 'Saya Hosem' di depan khalayak ramai.

Dan entah apa-apa lagi tok nenek transformasi yang dialami dirinya, sama ada sedar atau pon tidak.

Yang pasti orang di sekelilingnya sedar dan perasan akan perubahan ini. Kerana ia perubahan yang semulajadi, yang natural. Semuanya itu hasil dia melalui dan mengikuti pelajaran-pelajaran yang terkandung di dalam madrasah tarbiyah.

Itulah anugerah Allah buat hamba-hambaNya yang mencari hidayahNya. Itulah nikmat yang Allah kurniakan pada mereka yang memburu chentaNya. Dan itulah kelebihan yang Allah berikan pada insan-insan yang ikhlas mahu merubah dan menjadi manusia berjiwa hamba.

Kesesakan jalan raya boleh jadi tarbiyah buat dirinya.

Makanan yang dipesan lewat tiba sehingga perut sudah mula berzanji, itu menjadi tarbiyah buat dirinya.

Hatta hanya dengan melihat orang ramai di sekelilingnya, yang pelbagai ragam dan macam, itu sudah cukup untuk menjadi tarbiyah buat dirinya.

Matanya kini dipakaikan dengan kanta sesentuh dakwah dan tarbiyah; segala-gala yang dilihatnya adalah tarbiyah buat dirinya. Setiap perkara yang terjadi pada dirinya, akan menambahkan keimanannya kepadaNya. Setiap musibah yang melanda dirinya, akan menguatkan rindu dan chentanya pada Allah yang telah menciptakannya.

Itulah tarbiyah. Itulah keajaiban dan kehebatan tarbiyah. Sumpah osem bukan..?

Maka... Menggunakan logik dan hujah yang sama, perkara yang serupa akan berlaku apabila kita mula meninggalkan tarbiyah. Apabila kita pula menjauhi tarbiyah, diri kita akan mula berubah, beransur-ansur, perlahan-lahan, dan selalunya tanpa kita sedari akan perubahan-perubahan ini.

Percakapan kita tidak lagi menggambarkan kita seorang akh atau ukht.

Perlakuan dan perwatakan kita sudah tiada bezanya dengan orang yang tidak melalui tarbiyah. 


Pakaian kita makin lama makin mendekati syubhah; sekejap halal, sekejap haram.


Dan pelbagai lagi perubahan syaitonirojim yang berlaku pada diri, sebagai 'hukuman' kerana sengaja ponteng daripada madrasah tarbiyah. 


Ini semua akibat kita mula meninggalkan tarbiyah!
 

Teringat kata-kata sakti seorang syaikh kabeer yang menyimpulkan fenomena ini dalam satu ungkapan yang cukup zaaasssss lagi mengoyak jiwa dan raga:


"Ana tak pernah jumpa lagi, orang yang tinggalkan tarbiyah ni, dia jadi lebih daripada ketika dia bersama tarbiyah!" 


Gulp.


Yang lebih menakutkan dan mengerikan adalah apabila kita yang mula menjauhi tarbiyah ini, berasa riang dan seronok pula dengan kefuturan yang sedang kita alami. Kita rasa bebas. Kita rasa diri kita memerlukan 'kerehatan' ini. Kita rasa inilah sebenarnya yang kita mahukan.



Inilah yang dinamakan futur yang dihiasi; kita berasa syok dan seronok dengan lemahnya iman dan pegangan kita. Syatonirojim mula menghias dan menampakkan keindahan dan kecantikan pada perkara-perkara jahiliyyah, sehingga kita merasakan alangkah ruginya dahulu kita tidak bersama dengan jahiliyyah-jahiliyyah ini!


Astaghfirullahal adzim...


Futur itu mungkin normal kerana kita hanya manusia biasa yang punya banyak kelemahan dan kekurangan; iman kita sering sahaja turun dan naik ibarat harga saham di pasaran Bursa Saham Kuala Lumpur. Yang tidak normal dan berbahaya adalah futur yang dihiasi; kita mula jatuh chenta pada kefuturan ini dan semakin menjauhkan diri kita daripada nur bimbinganNya! 


Arakian kita mula petah memberikan alasan. Kita bijak bermain-main dan mengelak ke tepi. Kita mahir pula berkungfu, bertaici dan berwushu, apabila kita diseru untuk berjihad di medan dakwah dan tarbiyah.


"Alamak, aseef ustaz. Ana minggu ni ada hal dengan family lah, tak boleh nak elak. Nanti mak mertua bising!"


"Assalamu a'laikum ukthi. Afwan ana tak dapat nak datang ke bulatan gembira malam ni. Kerja banyak la kat opis ni. Esok ada mesyuarat penting pula, macam-macam yang ana nak kena sediakan ni. Maaf ye, kirim salam pada semua."


"Err, afwan syaikh. Ana tak dapat nak hadir la liqa' malam ni. Kucheng mak ana sakit tenat petang tadi. Nak kena bawa dia ke sepital. Maaf ye."


"Sorry sangat-sangat kak. Saya tak dapat nak pergi konferens riang esok ni. Mak ajak teman pergi Langkawi, ada konferens jugak di sana (dalam hati berbunga riang)." 


Sms: "Akhi, ana x bleh nak knfemkan lg la bleh jd penyampai ke x ntk prog anak2 buah nta. Macam ada hal wiken tu. Nnt ana knfem balik ye? Asif jiddan!"


Dan konfemesyen itu tidak pernah kunjung tiba. Peluh kecil.


Ketika saya menulis post ini, jujur saya katakan yang saya dapat merasakan kefuturan mula menyelinap masuk, merangkak-rangkak ke dalam hati saya. Saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena, ada sesuatu yang lain daripada biasa sedang ligat dan rancak menyerang hati saya.


Hallo, nama saya futur. Boleh saya masuk..? [Kredit]


Semuanya gara-gara kerana sudah lama tidak membawa bulatan gembira. Yang ada hanyalah bulatan gembira atas talian, yang sudah tentunya tidak sama dan amat jauh berbeza dengan bulatan gembira muka bertemu muka. Program di hujung minggu juga tidak sekerap biasa. Menyebabkan diri ini terperap di rumah bersama keluarga dan kucheng terchenta. Eh.


Hadek-hadek Kolej Maha Busy sudah pulang bercuti. Maka saya yang selalunya ke sana dua kali seminggu kini hanya duduk di rumah, lebih percuma daripada biasa. Dan jujur, saya berasa amat takut kerana bukan jarang saya merasa seronok dan lega dengan 'kerehatan'  dan 'kepercumaan' ini. Tidak perlu memandu puluhan batu jauhnya, tidak perlu pula pulang lewat malam sehingga menyebabkan menjadi zombie pada keesokan harinya.


Dan anda tahu apa yang lebih menyadiskan dan memilukan tentang semua ini? Kadang-kadang saya langsung tidak merasakan apa-apa, tidak berasa bersalah atau gundah-gulana dengan apa yang sedang berlaku. Allah, sudah matikah hatiku ini...?


Air mata mengalir laju, tidak terhenti-henti.


Dan sedikit demi sedikit, saya mula merasakan perubahan raksasa gorgon pada diri.


Mula berasa malas-malas dan mahu lek-lek dulu isap okok. Rasa tidak bersemangat. Mudah emo dan naik hangin. Selalu merungut. Dan sedikit-berdikit kaki ini mula tergelincir masuk ke dalam lembah jahiliyyah yang dalam itu. Kanta sesentuh atau kaca mata dakwah dan tarbiyah mula mahu tertanggal dari sepasang mata yang penuh dosa dan noda ini. Aduhai.


Puan Mama, sudah selesaikah menghiris bawang merah itu..?


Ini baru seminggu dua tidak berbulatan gembira. Tidak boleh saya bayangkan sekiranya diri ini (nau'dzubillah) lari dan benar-benar jauh daripada tarbiyah! Dan semuanya ini menandakan hanya satu perkara...


Betapa lemahnya iman saya.


Sujud pembebasan, tidak mahu bangkit-bangkit kembali.


Begitulah. Begitulah hebatnya penangan tarbiyah bagi yang pernah merasainya. Begitu hebat pula penangan kefuturan bagi mereka yang tidak cukup kuat dan bersedia untuk menghadapinya.


Kerana di dalam dunia ini hanya ada dua tarikan; tarikan al-haq dan tarikan al-batil. Pastinya tarikan al-batil itu lebih kuat dan mapan, kerana iblis telah berjanji di hadapan Allah yang dia tidak akan sesekali berputus-asa untuk menyesatkan Bani Adam kesemuanya. Maka akhirnya keputusan di tangan kita; kita mahu bersama-sama tarikan al-haq malah menguatkan pula tarikannya itu, atau kita mahu membiarkan diri kita hanyut dan larut, rela ditarik dan diikat kuat oleh al-batil dan jahiliyyah.


"Apa pon (kenikmatan) yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan apa (kenikmatan) yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal, dan juga (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji.."  
[as-Syura, 42:36-37]


 Bak kata Imam as-Shafi'e:

"Kita pemburu sorga sedangkan neraka memburu kita."


Gulp.


Marilah. Marilah kita bersama-sama bermujahadah, menguatkan saf-saf perjuangan ini. Jangan biarkan saf-saf yang telah dibina oleh generasi terdahulu kucar-kacir dan tunggang-terbalik dek karat-karat jahiliyyah yang menebal di dalam diri. Sanggupkah kita mengecewakan ar-Rasul dan para sahabat yang telah berhempas-pulas membina asas-asas dakwah ini dan kita... Kita menghancurkannya dalam sekelip mata..?


Astaghfirullah.


Ayuh. Ayuh mantapkan keimanan di dalan jiwa. Ayuh kita istiqamah dalam perjuangan mencari redha dan chentaNya. Dan ayuh kita kuatkan pertahanan kita, jangan sesekali kita biarkan kefuturan itu menyusup masuk perlahan-lahan, menguasai setiap inci ruang dalam hati kita!


Kerana ketahuilah, kefuturan itu tidak memilih mangsanya. Ia bukan rasis, bukan juga chauvinis. Ia buta warna, tidak mengira jantina atau bangsa. Dan berjaga-jagalah, kerana ia pantas menyerang sesiapa sahaja yang terleka!


-gabbana-